Daripada Abu Hurairah r.a berkata : Rasulullah s.a.w bersabda : " Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka yang belum lagi aku melihat mereka. Pertama, golongan (penguasa) yang mempunyai cemeti-cemeti bagaikan ekor lembu yang digunakan untuk memukul orang. Kedua, perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang,berlenggang lenggok waktu berjalan, menghayun-hayunkan bahu. Kepala mereka (sanggul di atas kepala mereka) bagaikan bonggol unta yang senget.Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau wangi syurga. Sesungguhnya bau wangi syurga itu sudah tercium dari perjalanan yang sangat jauh daripadanya ".
(Hadis Riwayat Muslim)
HURAIAN HADIS
Golongan yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w ini dapat kita lihat pada hari ini. Ada golongan yang memukul orang lain tanpa disoal siasat. Golongan kedua yang disebutkan di dalam hadis ini, perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang. Maksudnya, kalau kita hendak katakan berpakaian pun boleh, kerana masih ada secarik kain di atas badan, dan kalau kita hendak katakan bertelanjang pun boleh, kerana walaupun berpakaian tetapi hanya dengan secarik kain sahaja, maka samalah dengan bertelanjang.
Pada hari ini ramai juga yang berpakaian dengan pakaian yang nipis sehingga menampakkan warna kulit dan mencorakkan bentuk aurat. Kemudian berjalan sambil menghayun-hayunkan badan dengan sanggul yang besar, seperti bonggol unta. Kedua-dua golongan yang disebutkan di dalam hadis di atas tidak akan masuk ke dalam syurga bahkan bau syurga juga tidak akan dapat dihidu, sedangkan wangi syurga boleh tercium dari jarak perjalanan selama 500 tahun sebelum sampai kepadanya.
0 comments:
Post a Comment