RSS

Kisah Tauladan

NELAYAN MUKMIN DAN NELAYAN KAFIR

Pada zaman dulu, ada dua orang nelayan, seorang mukmin dan seorang lagi kafir. Pada suatu hari kedua-duanya turun ke laut untuk menangkap ikan. Semasa menebar jala, nelayan kafir menyebut nama tuhan berhalanya. Hasil tangkapannya amat banyak. Berlainan pula dengan nelayan mukmin. Apabila menebar jalanya, si-mukmin itu menyebut nama Allah. Hasilnya tidak ada seekor pun ikan yang tersangkut pada jaringnya. Hingga ke lewat senja, nelayan mukmin tidak berjaya mendapat sebarang ikan manakala si-kafir itu kembali dengan membawa ikan yang sangat banyak. Meskipun pulang dengan tangan kosong, namun nelayan mukmin itu tetap bersabar serta redha dengan apa yang Allah takdirkan. Si-kafir yang membawa berbakul-bakul ikan pulang dengan rasa bangga dan bongkak. 

Malaikat yang melihat keadaan nelayan mukmin ini berasa simpati lalu mengadu kepada Allah. Allah memperlihatkan kepada malaikat tempat yang disediakan olehNya untuk nelayan mukmin itu; iaitu sebuah syurga. Berkata malaikat "Demi Allah, sesungguhnya tidak memberi erti apa-apa pun penderitaan di dunia ini jika dia mendapat tempat di syurga Allah."

Setelah itu Allah memperlihatkan tempat yang disediakan untuk nelayan kafir. Berkata malaikat "Alangkah malangnya nasib si-kafir. Sesungguhnya tidak berguna langsung apa yang dia dapat di dunia dulu sedangkan tempat kembalinya adalah neraka jahannam."


MORAL & IKTIBAR

-Kediaman mukmin adalah di syurga manakala kediaman kafir adalah di neraka.
-Dunia adalah syurga orang kafir.
-Kekayaan dan kemewahan di dunia tidak semestinya berkekalan di akhirat.
-Kesusahan orang mukmin di dunia tidak seberapa jika dibandingkan dengan kenikmatan yang disediakan di syurga.
-Kesenangan orang kafir di dunia tak berbaloi jika dibandingkan dengan azab seksa yang disediakan di neraka.
-Kesenangan atau kesusahan seseorang bukan menjadi kayu ukur bagi keredhaan Allah; yang menjadi penentu ialah keimanan terhadapNya.
-Kesusahan di dunia bukan bermakna Allah tidak menyukai seseorang.
-Begitu juga kemewahan yang Allah berikan kepada seseorng bukan bermakna Allah meredhainya.
-Redha di atas takdir Ilahi adalah sifat mukmin sejati.
-Jangan berputus asa, kecewa atau sedih apabila melihat orang kafir senang dan mewah dalam kehidupan di dunia.
-Keimanan seseorang adalah lebih mahal daripada dunia dan isinya.
-Apalah maknanya kemewahan jika tidak mensyukuri dan beriman dengan Allah.



TAUBAT SEORANG PEMINUM ARAK

Pada suatu hari, Khalifah Umar ibni Khattab berjalan-jalan di lorong-lorong dalam kota Madinah. Apabila sampai di persimpangan jalan, beliau terserempak dengan seorang pemuda yang membawa kendi. Ini menimbulkan sangkaan buruk Umar terhadap pemuda itu. Lantas Umar menyoal, "Apa yang engkau bawa itu?" Dalam keadaan ketakutan pemuda itu terketar-ketar menjawab, "Madu, wahai Umar.." Sebenarnya pemuda itu sedang membawa kendi arak.
Selepas berkata demikian, timbul perasaan insaf di hatinya untuk bertaubat dari minum arak. Dia menyesal melakukan perbuatan yang ditegah agama. Dia benar-benar berharap sambil berdoa supaya Khalifah Umar tidak memeriksa isi kendi itu. Namun Khalifah Umar tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan oleh pemuda itu; lalu mengambil kendi itu untuk diperiksa.

Doa pemuda itu dikabulkan Allah. Apabila diperiksa, Baginda Umar dapati di dalamnya terdapat madu. Allah menukarkan arak menjadi madu. Dengan demikian pemuda itu terselamat dari tindakan Khalifah. Semenjak peristiwa itu, pemuda itu bertaubat dan berjanji tidak akan meminum arak lagi.


MORAL & IKTIBAR


-Allah Taala sentiasa memperkenankan doa orang yang bertaubat ikhlas kepadaNya.

-Setiap pemimpin mestilah bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan oleh rakyat yang dipimpinnya.
-Setiap pemimpin akan disoal mengenai kepimpinannya.
-Kebajikan yang dibuat ikhlas kepada Allah menghapuskan dosa kejahatan yang dibuat sebelumnya.



SI-SOPAK, SI-BOTAK DAN SI-BUTA

Pada suatu hari Allah memerintahkan malaikat bertemu dengan tiga orang Bani Israil. Ketiga-tiga mereka cacat; seorang botak, seorang sopak dan seorang lagi buta.

Malaikat yang menyamar seperti manusia itu bertanya si-sopak "Jika Allah hendak kurniakan sesuatu untuk kamu, apakah yang kamu mahu?" Si-sopak menjawab, "Saya mahu kulit saya sembuh seperti biasa dan diberi kekayaan yang banyak." Dengan takdir Allah, kulitnya kembali sembuh dan dikurniakan rezeki yang banyak.

Kemudian malaikat bertanya si-botak soalan yang sama. Si-botak menjawab, "Saya mahu kepala saya berambut semula supaya kelihatan kacak dan diberikan harta yang banyak." Tiba-tiba, dengan kurnia Allah si-botak itu kembali berambut dan diberikan harta yang banyak.

Selepas itu malaikat bertanya si-buta pertanyaan yang sama. Si-buta menjawab, "Saya hendak mata saya dicelikkan semula dan diberikan harta yang banyak." Dengan takdir Allah, mata si-buta menjadi celik dan dikurniakan kekayaan yang melimpah.

Selang beberapa bulan, Allah memerintahkan semula malaikat untuk berjumpa dengan ketiga-tiga orang cacat itu. Kali ini malaikat menyamar sebagai peminta sedekah. Dia berjumpa dengan orang pertama yang dulunya sopak dan meminta sedikit wang. 'Si-sopak' itu tidak menghulurkan sebarang bantuan malah mengherdik malaikat. Malaikat berkata, "Saya rasa saya kenal kamu. Dulu kamu sopak..dan miskin. Allah telah menolong kamu." Si-sopak tidak mengaku. Dengan kuasa Allah, si-sopak yang sombong itu bertukar menjadi sopak semula dan bertukar menjadi miskin.

Kemudian malaikat berjumpa dengan si-botak yang telah menjadi kaya dan berambut lebat. Apabila malaikat meminta bantuan, si-botak juga enggan membantu, malahan dia tidak mengaku bahawa dia dulu botak. Oleh sebab sombong dan tidak sedar diri, Allah menjadikan kepalanya botak semula dan bertukar menjadi miskin.

Malaikat berjumpa dengan orang buta yang telah diberikan penglihatan. Apabila malaikat meminta bantuan, si-buta memberikan keseluruhan hartanya dan berkata, "Ini semua harta pemberiaan Allah. Ambillah kesemuanya. Mata saya yang kembali celik ini adalah lebih berharga daripada kesemua harta ini." Malaikat tidak mengambil pemberian itu. Dia memberitahu bahawa dia adalah malaikat yang pernah datang dulu. Kedatangannya kali ini ialah untuk menguji siapa di antara mereka bertiga yang bersyukur.

Si-buta yang bersyukur itu terus dapat menikmati kekayaan dan penglihatannya. Manakala si-sopak dan si-botak kekal dengan keadaannya yang asal.



MORAL & IKTIBAR

-Allah mengurniakan kesenangan dan keselesaan adalah sebagai ujian untuk melihat siapakah di antara mereka yang bersyukur.
-Manusia yang bersyukur Allah akan tambah kurniaan sebaliknya manusia yang kufur akan diazab oleh Allah.
-Manusia seringkali lupa daratan apabila diberikan kemewahan dan kesenangan.
-Sangat sedikit hamba Allah yang bersyukur.
-Siapa yang tidak bersyukur kepada manusia, dia tidak akan bersyukur kepada Allah.
-Allah memberi kurnia kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan menarik nikmat daripada siapa sahaja yang dikehendakiNya.
-Sifat syukur adalah satu sifat yang terpuji, sebaliknya kufur (kufur nikmat) adalah sifat yang dicela oleh Allah.


BATU TERLEPAS DARI NERAKA

Pada zaman dulu, seorang nabi bertemu seketul batu kecil di tengah jalan. Beliau hairan dan tercengang melihat air mencurah-curah keluar dengan banyak melalui serkahan batu itu. Dengan izin Allah, batu itu boleh berkata-kata. "Semenjak aku dengar Firman Tuhan bahawa bahan bakar neraka ialah manusia dan batu, aku selalu menangis ketakutan!" Nabi itu bermohon supaya batu itu terlepas dari neraka.

Beberapa lama kemudian, nabi itu menjumpai batu itu sekali lagi dalam keadaan menangis seperti dulu. Beliau bertanya batu itu kenapa dia menangis lagi sedangkan dia terselamat dari menjadi bahan bakar api neraka. "Dulu aku mengangis kerana ketakutan tetapi sekarang aku menangis kerana bersyukur dan gembira!!"

MORAL & IKTIBAR

-Batu adalah juga makhluk Allah yang mempunyai perasaan.
-Batu menjadi bahan bakar api neraka selain manusia.
-Makhluk jumud boleh berkata jika diizinkan Allah.
-Orang yang kasyaf yakni mereka yang dibukakan oleh Allah pintu hijab dapat mendengar dan melihat perkara yang tersirat.
-Hati manusia seperti batu yang keras - sukar menerima nasihat dan petunjuk kecuali mereka yang diizinkan.
-Hati manusia bisa dilembutkan dengan cara tangisan seperti batu tadi. Menangis kerana takut akan azab Allah dan juga kerana rasa syukur dan gembira akan nikmat kurniaan Allah.
-Batu yang tidak mempunyai akal pun takut dibakar dalam neraka, betapa dengan manusia yang diberikan akal.
-Manusia yang berhati batu tidak akan mendapat kurniaan dan rahmat Allah.
-Ada batu yang terkecuali dari menjadi bahan bakar neraka seperti batu giling Siti Aisyah yang tidak henti-henti menggiling demi untuk menolongnya mengisar tepung.




CINTA SEJATI

Seorang hamba sahaya bernama Tsauban amat menyayangi dan merindui Nabi Muhammad saw. Sehari tidak berjumpa Nabi, dia rasakan seperti setahun. Kalau boleh dia hendak bersama Nabi setiap masa. Jika tidak bertemu Rasulullah, dia amat berasa sedih, murung dan seringkali menangis. Rasulullah juga demikian terhadap Tsauban. Baginda mengetahui betapa hebatnya kasihsayang Tsauban terhadap dirinya.
Suatu hari Tsauban berjumpa Rasulullah saw. Katanya "Ya Rasulullah, saya sebenarnya tidak sakit, tapi saya sangat sedih jika berpisah dan tidak bertemu denganmu walaupun sekejap. Jika dapat bertemu, barulah hatiku tenang dan bergembira sekali. Apabila memikirkan akhirat, hati saya bertambah cemas, takut-takut tidak dapat bersama denganmu. Kedudukanmu sudah tentu di syurga yang tinggi, manakala saya belum tentu kemungkinan di syurga paling bawah atau paling membimbangkan tidak dimasukkan ke dalam syurga langsung. Ketika itu saya tentu tidak bersua muka denganmu lagi."

Mendengar kata Tsauban, baginda amat terharu. Namun baginda tidak dapat berbuat apa-apa kerana itu urusan Allah. Setelah peristiwa itu, turunlah wahyu kepada Rasulullah saw, bermaksud "Barangsiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka mereka itu nanti akan bersama mereka yang diberi nikmat oleh Allah iaitu para nabi, syuhada, orang-orang soleh dan mereka yang sebaik-baik teman." Mendengarkan jaminan Allah ini, Tsauban menjadi gembira semula.


MORAL & IKTIBAR

-Cinta kepada Rasulullah adalah cinta sejati yang berlandaskan keimanan yang tulen.
-Mencintai Rasul bermakna mencintai Allah.
-Kita bersama siapa yang kita sayangi. Jika di dunia sayangkan nabi, insyallah kita bersama nabi di akhirat nanti.
-Hati yang dalam kecintaan terhadap seseorang akan merasa rindu yang teramat sangat jika tidak bertemu.
-Pasangan sahabat yang berjumpa dan berpisah kerana Allah semata-mata akan mendapat naungan Arasy di hari akhirat kelak.
-Rasulullah amat mengetahui mana-mana umatnya yang mencintai baginda, meskipun baginda sudah wafat.
-Rasulullah memberi syafaat kepada sesiapa di antara umatnya yang mengasihi baginda.
-Sebaik-baik sahabat ialah mereka yang berkawan di atas landasan keagamaan dan semata-mata kerana Allah.


DOA SI-SEPET YANG MAKBUL

Satu ketika di zaman seorang Khalifah berlaku kegawatan ekonomi yang meruncing. Keadaan menjadi semakin gawat apabila tumbuhan tidak menjadi. Hujan sudah tidak turun selama beberapa bulan. Pemerintah mencanangkan agar semua rakyat turun ke padang untuk solat istisqa' dan berdoa agar Allah menurunkan hujan. Namun hujan tidak turun juga. Khalifah menjemput ramai ustaz, tok guru dan para abid yang berpengaruh serta mempunyai ikutan yang ramai, untuk bersama-sama berdoa kepada Allah; tetapi keadaan masih tidak berubah.
Khalifah menjadi semakin khuatir apabila kemarau kian berpanjangan. Baginda berusaha mencari orang yang mustajab doanya untuk tampil ke depan bagi mengimami solat pinta hujan. Akhirnya tampil seorang lelaki yang kelihatan selekeh dengan pakaian yang comot dan rambut yang kusut berjumpa Khalifah. "Ya khalifah! Saya datang untuk menyahut seruan tuanku." Khalifah macam tak begitu yakin melihat pemuda yang comot itu. "Benarkah kamu ini? Sedangkan ramai para ulamak dan abid yang terkenal tidak dimakbulkan Allah doanya, inikan pula kamu yang begini?". Pemuda itu menjawab, "Insyallah doa kita akan dikabulkan!".

Pemuda itu terus mengimami sembahyang bersama rakyat dan berdoa. Belum pun habis doanya, dengan tidak diduga hujan turun mencurah-curah dengan lebat. Khalifah segera bertanya, "Wahai pemuda, cuba kamu ceritakan kepada beta apa amalan kamu sehingga doamu diperkenankan Allah." Pemuda itu menceritakan "Pernah semasa muda dulu, saya begitu asyik melihat wajah seorang gadis ayu. Saya terpesona dengan kecantikannya sehingga saya terlalai dari mematuhi perintah Allah. Saya menyesal atas kejahatan saya itu dan merobek-robek muka saya hingga tanpa disedari biji mata saya terkeluar dari rongganya. Sebab itulah mata saya menjadi sepet. Saya bertaubat dari kejahatan itu dan terus mengabdikan diri kepada Allah." Khalifah mengucapkan terima kasih dan terus sujud syukur kepada Allah.



MORAL & IKTIBAR

-Allah menurunkan bala sebagai peringatan kepada hamba-hambanya atas dosa yang dilakukan.

-Kehendak Allah mengatasi segala.
-Allah menyayangi orang yang bertaubat sehingga apa saja doanya dikabulkan Allah.
-Allah sayang kepada seseorang bukan kerana rupa dan sifat lahiriahnya, tetapi kerana sifat ubudiah dan ketaqwaannya.
-Untuk mengatasi apa jua masalah yang menimpa, Allah menganjurkan kita supaya kembali kepadaNya.
-Jangan memandang orang dari sifat lahiriahnya tetapi lihat dari segi amalan dan ketaqwaanya kepada Allah.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...